Mesej kepada editor
Diterima pada: 27 Mei 2005
Name: Maharaja Zhou
Email: maharaja_zhou@yahoo.com
Kupasan
Eksklusif : Anak-anak Nik Aziz Jadi Proksi JIM - PAS Dalam
Bahaya?
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah dianugerahkan oleh Jamaah
Islah Malaysia (JIM) sebagai Tokoh Kepimpinan dalam suatu
program yang dinamakan sebagai Kembara Keluarga Nasional Ke-4.
Begitu signifikan sekali anugerah
ini diberikan kepada TG Nik Aziz, menunjukkan betapa
TG Nik Aziz telah menjadi semacam bapa angkat kepada pertubuhan
tersebut.
JIM mengaku sebagai non-partisan dan
tidak politikal sama seperti ABIM, pesaing terdekat mereka
sejak zaman azali. Mereka bebas masuk dan keluar dalam akhbar
samada mainstream ataupun pembangkang atas tiket tersebut.
Pemimpin UMNO bukanlah pakar gerakan, oleh itu, kenyataan
"kami neutral" mungkin sudah mampu mengelabui
mata mereka.
Sekarang ini, sokongan
JIM semakin tertumpu kepada PAS, setelah Partai Keadilan
Rakyat semakin diresapi oleh unsur-unsur sosialis yang didalangi
oleh faksi PRM. Ini ditambah pula oleh tindakan getik Anwar
Ibrahim yang bergentayangan di keliling Yahudi Amerika. Merasakan
kegelenyaran Anwar dan juga persekitaran PKR yang tidak kondusif,
JIM lebih senang memunculkan diri mereka di dalam harakah
dan menyatakan sokongan mereka kepada PAS walaupun agen-agen
mereka di dalam Keadilan masih lagi aktif dan berpengaruh.
Bukti-bukti penguasaan JIM ke atas Harakah memang
jelas. Ketua Muslimat JIM, Dr. Harlina Siraj lebih
banyak keluar di dalam akhbar Harakah berbanding Ketua Dewan
Muslimat PAS. Malahan, orang tidak mengenali mana-mana AJK
Dewan Muslimat PAS, tetapi mereka lebih kenal dengan Ketua
Muslimat JIM yang tiada kaitan dengan PAS walau sezarah pun.
Begitu juga pernah diberitakan bahawa wujud
golongan JIM di dalam PAS. Memetik sumber berkenaan, antaranya
ialah "golongan professional" dalam PAS.
Mereka adalah Dr. Hatta Ramli, Dr. Abdul Wahab Ismail,
Dr. Zulkefli Ahmad, Dr. Lo' Lo' Ghazali, Dr. Siti Mariah Mahmud
dan Wan Hasrina Wan Hassan. Malahan, Husam Musa
dan Syed Azman Syed Mohammed boleh dikatakan pernah
mengikuti latihan yang sama dengan golongan ini, cuma sejauh
mana mereka telah di "JIM"kan, tidak dapat dipastikan.
Kenaikan mendadak golongan ini di seluruh negara
menandakan bermulanya era penguasaan golongan professional
JIM di dalam PAS menggantikan ustaz-ustaz kampung yang tidak
pernah ditarbiyyah oleh tarbiyyah Ikhwanul Muslimin. Golongan
tua ini diwakili oleh Haji Hassan Syukri, Subky Latif,
Haji Azizan Razak dan Daeng Sanusi Daeng Mariok.
Dua nama yang terakhir ini merupakan tokoh yang
paling berjasa kepada golongan JIM professional sebelum ini
sebagai tempat berpaut. Tetapi akhirnya, sekarang mereka akan
bakal dicantas oleh golongan yang dahulunya mereka naungi
kerana dianggap tidak relevan dengan tuntutan politik semasa.
Boleh diibaratkan seperti dahan yang reput yang hanya tunggu
untuk dicantas.
Dalam menghadapi benteng yang kuat dari golongan
ustaz yang tidak ditarbiyyah ini, mereka terpaksa mencari
pautan yang lebih kuat setelah berkonspirasi untuk mencantas
pautan lama mereka. Dan mereka telah membuat satu pilihan
yang bijak, iaitu dengan memilih TG Nik Aziz. TG Hadi Awang
tidak dipilih puak-puak ini kerana beliau amat keras terhadap
mereka walaupun isteri muda beliau juga diberitakan mengikuti
tarbiyyah JIM. Dengan ini, adalah lebih bijak mendapatkan
naungan TG Nik Aziz kerana selain tidak pernah mengikuti tarbiyyah
Ikhwan dan kurang faham akan konsep kepelbagaian jemaah, TG
Nik Aziz juga mempunyai imej yang lebih bersih di hadapan
mata rakyat marhain jika dibandingkan dengan TG Hadi Awang.
Golongan JIM professional mempunyai akses yang
baik kepada TG Nik Aziz melalui Husam Musa. Oleh itu, tidak
hairanlah TG Nik Aziz dengan mudah mencalonkan Dr. Siti
Mariah Mahmud sebagai calon Naib Presiden. Pengumuman
Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS, disambut dengan
gegak gempita di Harakah dan penuh dengan rasa takjub dan
megah. Ini merupakan petanda awal yang menunjukkan TG Nik
Aziz semakin rapat dan semakin dikelabui oleh golongan JIM
professional dalam PAS.
Pengumuman tersebut hanyalah yang pertama. Dengan
perisytiharan tersebut, secara taktikalnya "Khadam PAS"
telah dirasuki oleh JIM. Ini disahkan pula oleh anugerah yang
diterima oleh TG Nik Aziz dari JIM pada program Kembara Keluarga
Nasional Ke-4. Yang menariknya, penganugerah tersebut tidak
lain dan tidak bukan dari anak-anak Tuan guru sendiri, iaitu
Nik Abduh dan Nik Amalina.(Misalnya Nik Abduh
Nik Abdul Aziz, semasa menuntut di Mesir, dianggap 'musuh'
jemaah PAS (PMRAM) kerana beliau bergiat aktif dalam JIM yang
lebih dikenali di sana sebagai 'persatuan Alami'). Kalau Nik
Abduh berasal daripada tarbiyah JIM maka kita dapat memahami
tarbiyah mana yang telah diikuti oleh seorang lagi anak TG
Nik Aziz, iaitu Nik Amalina semasa di kampus.
Sejarah membuktikan bahawa jarang ada anak pimpinan
PAS yang mengikut tarbiyyah PAS ala Wan
Norhayati di kampus. Mungkin mereka sedar bahawa "tarbiyyah"
seumpama itu hanyalah untuk orang yang bodoh sahaja dan barangkali
pimpinan PAS sendiri pun sudah berpesan kepada anak-anak mereka
supaya menjauhi aktiviti seumpama itu. Dan sejarah juga telah
membuktikan bahawa ada anak pimpinan PAS yang masuk dalam
jemaah yang lain. Contohnya seperti Mujahid Yusof Rawa,
juga menyertai Alami di Mesir.
Tetapi, tidak seperti rakan PMRAM beliau, Mujahid
nyata lebih bijak untuk naik di dalam PAS dengan rangkaian
JIM professional dalam partai tersebut, walhal rakan-rakannya
masih terkontang-kanting mencari tapak. Nyatalah orang yang
dahulunya bermati-matian untuk jamaah dilupakan, dan orang
yang dahulu menentang jamaah mendapat laba dan habuan.
Perkara ini juga sedang berlaku dalam keluarga
TG Nik Aziz. Mungkin tuan guru tidak sedar akan bala yang
akan menanti PAS. Paling berbahaya sekali, kepungan dari JIM
datang bukan sahaja di atas nama "anak muda yang professional"
tetapi juga datang dari dalam rumah tuan guru sendiri.
Pendokong PAS perlu sedar bahawa PAS akan di"JIM"kan,maka
jangan terlalu berseronok dengan tewasnya orang lama menjelang
Muktamar PAS nanti,seperti kata pepatah, menang sorak kampung
tergadai!
Ingin mengemukakan
pandangan/komentar tentang kampus mailkan mengunakan form
hubungi editor